Monday, January 2, 2012

Kasih Sayang Untuk Kebahagian.




Kasih Sayang Untuk Kebahagian.

Di antara adab atau tanggungjawab kepada orang lain ialah menginginkan dia mendapat kebaikan dan berusaha supaya dia senang atau gembira. Tegasnya hendaklah kita merasa senang jika orang bahagia dan kita merasa sedih jika dia mendapat hal-hal yang tidak diingini.

Dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


Tidak beriman salah seorang kamu sehingga dia sayang kepada saudaranya seperti sayangkan kepada dirinya sendiri.

(H.R. Bukhari dan Muslim)

Sayang kepada orang lain seperti sayang kepada diri sendiri terkadang mahu juga timbul dalam hati kita tetapi khusus kepada anak atau saudara saja. Kita ingin adik kita misalnya supaya sihat seperti yang kita inginkan terjadi kepada diri kita sendiri.

Kita ingin supaya dia mendapat anak, kita ingin murah rezekinya. Sebaliknya kita tidak menginginkan dia berpenyakit, mendapat musibah jalan raya dan sebagainya. Bahkan terhadap anak, kita menginginkan supaya dia lebih hebat dari kita, sama ada segi pendidikannya, segi pekerjaannya dan sebagainya.

Bererti kita menginginkan orang lain mendapat kebaikan seperti yang kita inginkan terjadi terhadap diri kita sendiri. Kalau demikian bererti kita menyayangi orang lain seperti diri kita sendiri.

Cuma sayangnya perasaan seperti itu timbul untuk saudara dan anak saja. Sedangkan terhadap orang lain kita tidak menginginkan seperti itu. Sepatutnya terhadap orang lain pun asalkan dia Muslim, kita merasa seperti saudara kita sendiri. Kerana dalam al-Quran atau Hadis banyak menyebutkan orang jauh itu pun, kalau dia Muslim, sebagai saudara. Dari Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ,setelah amalan fardu, adalah memasukkan kegembiraan ke dalam jiwa orang Muslim.” (H.R.Tabrani)

Memasukkan kegembiraan ke dalam jiwa orang Muslim maksudnya berusaha menghibur dan menyenangkan hatinya. Kalau dia sedang menghadapi masalah, kita ikut berusaha membantunya. Kalau dia sedang ditimpa musibah seperti kematian ahli keluarga, kita berikan bantuan material atau moral. Dengan demikian berkurang kesusahannya. Amalan seperti itu termasuk yang paling disukai Allah setelah amalan-amalan fardu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang Muslim adalah saudara Muslim lainnya. Dia tidak boleh menzaliminya dan membiarkannya (tidak menolong). Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah menunaikan hajatnya pula. Sesiapa yang mengatasi kesusahan orang Muslim maka Allah menghilangkan kesusahan pada saat terjadinya kesusahan atau huru-hara hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib orang Muslim, maka Allah menutupi aibnya pada hari kiamat.

(H.R. Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 114 yang bermaksud:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberikan kepada- nya pahala yang besar.” (An Nisa’ ayat 114)

Bagaimanapun kasih sayang sesama Muslim termasuk juga kita menunjukkan perilaku yang baik dan bercakap secara jujur. Tidak berbohong dan tidak menipu orang. Kita hendaklah mengamalkan akhlak yang mulia. Di samping itu kita hendaklah selalu menasihati orang untuk membuat kebaikan, yakni menyuruh atau menasihati orang berbuat baik dan melarang berbuat jahat.

Kalau anda seorang peniaga, maka terangkan kepada pembeli keadaan barang yang anda jual. Kalau ada kecacatan katakan sebenar, kalau yang tidak bagus katakan sebenar, jangan hendak melariskan barangan anda yang menyebabkan pembeli tertipu.

Kalau anda seorang suami kasih sayang hendaklah diberikan kepada isteri secara jujur dan begitulah sebaliknya kalau anda seorang isteri. Jangan cuba mengasihi orang lain dalam pergaulan sebagai suami isteri. Jangan ada penipuan antara suami dan isteri kerana perbuatan tidak jujur itu mengakibatkan perceraian sesama suami isteri.


Kalau anda seorang isteri berikan sungguh-sungguh kasih sayang pada suami anda. Layanlah dia dengan sepuas-puasnya, maka dengan itu akan mengelakkan berlakunya kucar-kacir dalam rumah tangga., seterusnya berlaku perceraian. Apa yang menyebabkan berlakunya perceraian ialah disebabkan suami tidak merasa kepuasan dengan layanan yang diberikan oleh si isteri. Layanan itu terlalu banyak dan tidak dapat hendak disebutkan di sini sepenuhnya.

Layanan itu bermula dari bangun tidur, seumpama menyediakan sarapan pagi yang digemari oleh si suami, bukan ala kadar sahaja, bagi melepaskan batuk di tangga. Bangun tidur lebih awal dari suami, solat subuh, wajib mengajak suami solat berjemaah bersama. Jangan zikir terlalu lama, kerana hendak menyediakan sarapan pagi.

Selepas itu ingatkan jadual si suami, ingatkan dia apa yang akan di lakukan hari itu. Sediakan pakaiannya yang sempurna mengikut jadual. Gosok baju, kasut dan tali leher jika dia akan bekerja di pejabat. Jika dia seorang pekerja biasa bekalkan makanannya supaya dia tidak lapar atau dahaga selepas bekerja kuat di tengah panas. Lepaskan dia pergi kerja dengan kasih sayang dan muka manis penuh harmoni. Jika anda ada anak kecil, bawa dia bersama-sama semasa hendak melepaskan suami pergi bertugas atau bekerja. Biarkan suami cium sayang semasa itu, jangan elakkan dia berbuat demikian. Ini menyebabkan kasih sayang itu bertambah erat lagi.

Semasa suami tiada di rumah pergi bertugas, pergi bekerja atau pergi merantau yang dijadualkan buatlah kerja rumah, jika ada anak, jalankan didikan pada anak.-anak.


Jangan berkumpul sesama wanita dan membuat tohmah atau kata mengata atau mengumpat pada orang lain. Kebersihan rumah tangga yang amat perlu diutamakan, supaya apabila ada suami nanti dia akan merasa lapang fikirannya dengan keceriaan itu.

Jangan memberikan sesiapa pelawat masuk rumah semasa tiada suami di rumah, kecuali adik-beradik sendiri.

Dalam hal kasih sayang ini terlalu banyak perkara yang hendak dilakukan agar suasana aman damai dan makmur sesama manusia. Apa yang penting pokoknya ialah mengamalkan akhlak mulia dan meninggalkan akhlak yang keji dan buruk.

Penulis akan menyambung lagi dalam perkara:

a. Bagaimana hendak menyambut suami semasa dia balik dari kerja atau dari ziarah.

b. Bagaimana hendak melayan suami dalam kamar

c. Bagaimana hendak mengatasi suami yang ada menyimpan rakan wanita yang lain.

Sekian, semoga anda sentiasa mengamalkan amalan kasih sayang bukan sahaja pada manusia tetapi juga kepada makhluk yang lain.

Wassala mualaikum….!

---------------oooooooooooooo-----------------------

(Rujukan: Kitab “Membina Generasi Berakhlak”, muka surat 14-20)


No comments:

Post a Comment