Wednesday, February 1, 2012

Kaki bersemen, bagaimana hendak mandi haid ?



Masalah 161.

Kaki saya telah disemen dari hujung jari sehingga ke pangkal paha kerana patah. Dalam masa itu saya sudah dua kali kedatangan haid. Soalannya sekarang apakah sah mandi haid saya jika saya tidak basuh kaki saya yang bersimen itu?

Jawapan.

Mandi hadas besar kerana haid mesti meratakan air ke tubuh badan. Kalau ada bahagian yang tidak kena air pastilah tidak sah. Kalau mandi tidak sah bermakna mereka tidak suci. Sembahyang yang dilakukan ternyata tidak sah juga. Bagaimanapun dalam kes anda ini, Islam ada menyediakan jalan penyelesaiannya.

Sebenarnya cara bersuci dalam Islam terdapat banyak cara mengikut keadaan. Mensucikan hadas kecil hendaklah dengan mengambil wuduk. Wuduk hanya dengan menggunakan air. Sungguhpun begitu dalam hal-hal tertentu dibolehkan menggantikan wuduk dengan tayammum. Dibolehkan bertayammum :-

a. Kalau air tidak ada untuk membolehkan mengambil wuduk.

b. Kalau ada anggota wuduk yang tidak boleh sampai air kerana sakit.

Dalam masalah kedua seseorang itu hendaklah mengambil wuduk macam biasa terlebih dahulu. Apabila sampai ke anggota yang sakit, sapukan (bukan basuh) ke atas anggota yang boleh kena air, kemudian tayammum dengan debu yang bersih. Anggota tayammum ialah muka dan dua tangan sampai ke siku. Selepas selesai tayammum sambung wuduk untuk anggota yang selepasnya.

Kalau seseorang itu berhadas besar pula, mesti disucikan dengan mandi. Mandi tentulah juga dengan menggunakan air. Cara mandinya sama iaitu dengan meratakan air keseluruh tubuh termasuk anggota sulit. Pada anggota yang tidak boleh kena air itu maka hendaklah digantikan dengan tayammum. Ianya sama seperti wuduk juga.

Akan tetapi kalau air tidak ada langsung, mungkin di musim kemarau, cukuplah hanya dengan bertayammum untuk menggantikan mandi. Anggotanya tetap sama iaitu muka dan dua tangan hingga ke siku. Ketika itu hadas besarnya akan terangkat.

Begitulah kemudahan Islam untuk umatnya. Kemudahan ini jika mahu dilakuka sungguh mudah tetapi bagi mereka yang tidak mahu yang mudah pun menjadi susah.

(Rujukan- Kitab Akidah, Fekah, Tarbiah, Akhlak, Dakwah dan Amal Kebajikan oleh Us. Abu Salim Al Ahmadi m.s. 249).

------------------------------------------------------------

No comments:

Post a Comment